Friday, March 7, 2008

24 jam sebelum pembuangan undi...


KOTA BHARU, 7 Mac (Hrkh) - Hanya beberapa jam lagi menjelang detik hari pembuangan undi pilihan raya umum ke-12. Suasana kelam kabut mulai kelihatan apabila ada pihak tanpa segan silu mengaku dibawa untuk mengundi di Kelantan. Mengikut maklumat 30,000 pengundi luar bakal membanjir tempat-tempat panas di sini, dalam misi Umno menawan Kelantan. Biar apa pun ikhtiar manusia, penentu segalanya di tangan empunya kuasa di langit dan bumi.

Awal pagi tadi bermula jam 4 lautan manusia membanjiri Stadium Sultan Mohammad Ke IV menadah tangan berdoa ke hadrat Allah. Mereka mengadu kepada Allah di atas keangkuhan manusia.

Titisan air mata jernih mengalir membasah pipi di dini hari. Puluhan ribu rakyat Kelantan mengadu musuh semakin bongkak mahu menggayang Islam bagi merobek kerajaan negeri di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Kolam air mata yang tidak mampu menakung aliran air jernih, tiba-tiba mengalir di heni pagi ketika manusia di tempat lain sedang diulik mimpi.

Cukup syahdu doa dibaca calon PAS Dun Demit, Ustaz Mohamad Mustapa. Ia menjejak terus ke lubuk hati. Suaranya yang tersekat-sekat ketika menghantar mesej ke langit turut menghibakan lautan manusia di stadium.

Mereka mengadu ke hadrat Allah kerana manusia yang menolak Islam semakin sombong, sanggup melakukan apa sahaja bagi menguburkan Islam yang sudah subur di Kelantan sejak 18 tahun lalu.

Deretan bas yang membawa pengundi bukan anak tempatan dilihat sedang menuju ke Kelantan malam tadi dan hari ini. Biar apa pun ikhtiar sudah dibuat, doa telah dipanjat, sekarang tiba masanya menanti janji Allah bagi melaknatkan manusia yang engkar terhadap suruhanNya.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Allah berkuasa di atas segala hambaNya, biar pun manusia cuba merancang menggunakan akal.

“Firaun yang terkenal dengan kuasa dan kekayaan pun dibenam ke dalam lautan kerana cuba menghalang kebangkitan Islam,” katanya sebagai motivasi akhir menjelang detik pembuangan undi, bermula jam 8 pagi esok.

Munajat rakyat Kelantan tersebut dimulakan dengan solat Tahajut yang dipimpin anggota Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Hussin Ibrahim Masri bermula jam 4 pagi.

Kemudian diikuti dikir dan bermunajat membesarkan keagongan Tuhan yang mengatasi segala perancangan manusia.

Sebelum azan Subuh dikumandangkan solat hajat diadakan sebagai acara kemuncak. Solat Subuh diimamkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kawasan sekitar stadium mulai sesak jam 3 pagi. Kenderaaan dari segenap arah sedang menuju ke arah stadium. Malah ramai yang terpaksa meletakkan kenderaan di tempat agak jauh, berjalan dalam kedinginan pagi.

Van dan bas yang disewa khas bersesak di kawasan stadium. Kenderaan yang datang dari pelbagai tempat melekatkan bendera dan gambar-gambar calon PAS yang bertanding.

Tidak kurang kumpulan pemuda membawa bendera bulan purnama ketika orang ramai sedang berduyung-duyung ke stadium.

Biar pun hujan turun agak lebat pada awal malam, namun ia tidak menghalang orang ramai datang.

Sebelum ini munajat serupa diadakan di Dataran Stadium yang dihadiri ribuan manusia. Program sama juga diadakan di Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Sunday, March 2, 2008

TERKINI!! Jumaat 7/3/08 cuti?

Terdapat maklumat yang baru diterima mengatakan hari Jumaat ini diisytiharkan sebagai hari cuti untuk para pelajar. Namun begitu, kesahihan berita ini belum dapat dipastikan lagi. Kami akan menghebahkannya dalam masa terdekat ini.
Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan perkara ini bolehla memberikan maklumat melalui ruangan comment atau pun sembang di sebelah. Sekian..

Pelik Tapi Benar..


Pernahkan anda melihat telur yang mana telur kuningnya ada dua. Ganjil bunyinya tapi itulah yang dapat dirakamkan oleh lensa penulis. Sebenarnya telur ini mempunyai 2 embrio di mana jika telur ini selamat menetas maka anak ayam yang bakal dilahirkan adalah kembar!!
Namun apakan daya, telur ini telah pecah terlebih dahulu di dalam kuali :)

Suasana Sekitar Batu Pahat


Selain di desa-desa, kawasan-kawasan pekan bandar juga tidak ketinggalan menerima tempias demam pilihanraya. Buktinya dapat dilihat di sekitar bandar Batu Pahat di mana perang posternya begitu sengit. Semasa dalam perjalanan dari Parit Raja ke bandar Batu Pahat baru-baru ini, penulis dapat melihat pelbagai jenis sepanduk dan bendera yang menghiasai sepanjang jalan.
Walaupun terdapat berbagai-bagai kaedah untuk menarik undi pada masa kini, namun cara lama iaitu dengan menggantung bendera dan poster tidak dilupakan. Dalam hati penulis terdetik, bagaimanakah agaknya keadaan di kawasan penulis sendiri...sudah pastilah lagi panas :)

Perang Poster Di Parit Raja!!


Perang poster kembali lagi. Seperti biasa, setiap kali tibanya pilihanraya seluruh pelusuk kampung-kampung dan juga bandar tidak ketinggalan bermandikan bendera serta sepanduk di sepanjang kawasan tumpuan ramai.
Di sekitar Parit Raja sendiri, kemeriahan sungguh terasa. Berdasarkan kepada pengamatan penulis, bendera-bendera dari pihak pembangkang boleh dikatakan mendominasi suasana di sini. Menurut seorang peniaga setempat, Pak Lang(bukan nama sebenar), keadaan ini jauh bezanya dengan pilihanraya sebelum ini dimana perang poster tidak begitu hebat seperti sekarang. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, terdapat satu pertelingkahan yang telah berlaku di kawasan Parit Raja yang membabitkan penyokong-penyokong masing-masing pada malam semalam. Namun Alhamdulillah, hujan rahmat pada pagi ini telah meredakan sedikit suasana. Apa yang diharapkan adalah agar semua pihak dapat mengawal perasaan masing-masing sebelum menuju ke tarikh keramat 08/03/08..

Saturday, March 1, 2008

Parti Manakah Pilihan Anda?

Serentak dengan kemeriahan yang semakin terasa, blog menyediakan satu ruangan pungutan suara untuk menilai trend pengundi muda pada masa kini.
Luangkanlah masa anda untuk mengundi di ruangan sebelah..
Undi anda adalah rahsia :)

Demam Pilihanraya kembali lagi..

Sudah agak lama rasanya blog ini tidak aktif. Berserta kehangatan PRU ke 12 ini, blog ini akan kembali aktif bagi memeriahkan suasana di luar sana. Lebih kurang seminggu lagi satu proses demokrasi akan berlaku di negara kita untuk sekian kalinya. Apa yang paling diharapkan adalah setelah 50 tahun negara kita merdeka, satu pilhanraya yang adil lagi bersih seperti yang dituntut oleh sebuah pertubuhan yang menamakan diri mereka sebagai BERSIH dapat dilaksanakan.
Berserta dengan kehangatan dan kemeriahan suasana pilihanraya ini, blog akan memberikan perhatian dan liputan khusus bermula dari awal penamaan calon hinggalah kepada pembentukan kerajaan baru. Sama-samalah kita memeriahkannya. Sebarang idea atau buah fikiran adalah dialu-alukan untuk dihantar bagi menghidupkan suasana.
Sekian, wassalam.